Bagaimana kita dapat melewati indahnya fajar pagi, jika kita tidak pernah berani melewati pekat malam?

Pages

Monday, July 16, 2012

Sebentar Sahaja

Jumaat lalu, saya dikejutkan dengan berita kematian Puan Zubidah binti A. Majid, salah seorang pensyarah Pengajian Melayu. Air mata ini tidak dapat ditahan lagi. Walaupun baru setahun mengenali beliau, namun, sifat keibuan yang ditonjolkan menjadikan kami sekelas sangat rapat dengan arwah. Lebih-lebih lagi beliau turut mengikuti lawatan ke bandung baru-baru ini. 
Ketika itu, kesemua pensyarah Pengajian Melayu termasuk arwah mengadakan lawatan ke IPG Batu Lintang Sarawak. Mereka bertolak pada hari Khamis. Sebaik sahaja mendarat daripada penerbangan, arwah muntah-muntah dan badan mulai berpeluh. Arwah dikejarkan ke klinik berdekatan tetapi klinik tidak mahu menerima kes ini dan terpaksa dikejarkan ke hospital berdekatan. Sampai di hospital, arwah menerima serangan sakit jantung kali pertama. Doktor memberikan ubat ditahan di wad. 
Pada malam itu, Puan Maisarah yang menjaga arwah. Keesokkan harinya, muka arwah masih pucat dan lemah tetapi masih mampu bergelak tawa dengan pensyarah yang mengunjungi. Doktor juga sahkan yang arwah sudah sihat tetapi menyarankan agar dibawa ke IJN Kuching untuk mendapatkan pemeriksaan keseluruhan. 
Atas nasihat semua, arwah pun bersetuju untuk membuat pemeriksaan di sana. Ketika proses mengemas pakaian untuk ke sana, Puan Zubidah mendapat serangan jantung kali kedua. Ketika ini, keadaan tidak dapat diselamatkan lagi, Akhirnya, Puan Zubidah meninggal dunia bertempat di Hospital Timberland, Sarawak. Sebentar sahaja saya dapat menimba pengalaman daripada beliau. Terima kasih Ya Allah berikan saya peluang bertemu orang sehebat arwah. Segala nasihat arwah takkan saya lupakan. SEMOGA arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Amin.

Zaifi-Arwah Pn. Zubidah-Afiq

Tuesday, July 10, 2012

Jakarta Hari Pertama

Mengambil masa yang agak lama untuk memulakan entri ini. Dek ketandusan idea kerana agak lama tidak mengupdate blog tetapi merasakan pengalaman yang jarang-jarang sebegini harus dikongsi bersama. 


Alhamdulilah pada 8 Jun hingga 12 Jun 2012 yang lepas, saya bersama-sama 29 orang peserta yang lain selamat mengembara berkelana ke negara jiran. Kepayahan serta pelbagai cabaran kami bekerja selama 6 bulan akhirnya menampakkan hasil kerja yang cemerlang. Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU)  merupakan satu-satunya persatuan di IPG Kampus Pendidikan Islam mengadakan lawatan sambil belajar ke  luar negara. Terbit rasa bangga apabila Pengarah turut memuji keberanian persatuan kami walhal kami hanya mempunyai dua kelas BM di sini dalam kira-kira 20 orang pelajar satu kelas. Kami tidak mempunyai junior dan tidak juga mempunyai senior. Kami hanya mempunyai pensyarah-pensyarah daripada Jabatan Pengajian Melayu yang kesemuanya berdedikasi membimbing serta mengajar kami erti kehidupan guru sebelum kami melangkah menjadi "Murabbi" yang sebenar. ^_^


Objektif utama lawatan kali ini ialah untuk mengadakan perbincangan dua hala bersama-sama guru-guru program pemulihan di Universitas Pendidikan Indonesia serta mengeratkan hubungan antara guru-guru pelatih Malaysia dengan guru-guru pelatih di Indonesia. Turut tidak ketinggalan adalah lawatan ke Universitas Indonesia, Jakarta, Indonesia.


Kami berkumpul seawal 4.30 pagi berikutan flight kami pada jam 7 pagi. Proses Check In perlu dilakukan 2 jam awal sebelum waktu penerbangan. 

Jam 5.30 di LCCT

Leka melihat awan :)
SubhanAllah, Alhamdulilah, Allahuakbar. Tiga perkataan ini sahaja yang boleh mengambarkan perasaan saya apabila selamat tiba di Jakarta. Usaha selama ini tidak sia-sia. Benarlah usaha itu tangga kejayaan. Ini kejayaan kami bersama. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 2 jam tidak menjadi asbab utama untuk saya tidur kerana permandangan di luar kapal terbang sudah cukup untuk melekakan saya.
Begitu indah ciptaan ALLAH.


"Maka nikmat manakah yang kamu dustakan?"

Pasukan BERSIH tidak sabar memulakan pengembaraan.
Sekitar Kota Jakarta yang agak mirip dengan Kuala Lumpur
Mencuba menikmati masakan padang 

Kami meneruskan perjalanan ke misi utama lawatan ini iaitu Universitas Indonesia, JAKARTA. Ini merupakan satu-satunya universiti yang menggunakan nama Indonesia sebagai nama universiti. Memiliki tanah sebesar 320 hektar membolehkan pihak universiti menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pelajar. 

Antaranya ialah satu stesen keretapi khas yang memasuki kawasan kampus untuk memudahkan pelajar pergi dan pulang dari kuliah. Selain itu, pelajar diwajibkan berspeda setiap hari iaitu berbasikal agar dapat mengekalkan kecergasan diri. Oleh itu, akan ada beberapa pondok meletak basikal yang dijaga oleh seorang pengawal. 

Masa yang agak lama kami berjalan memasuki ruang perpustakaan universiti. Hal ini kerana perpustakaannya memiliki 8 tingkat dan perlu menaiki lif. Tidak hairan apabila diberitahu jumlah buku yang terdapat di perpustakaan ini ialah antara 3oo-400 ribu. Justeru itu, hanya pelajar terpilih yang mampu mendaftar masuk ke universiti ini. Dalam kira-kira 100 ribu orang yang memohon setiap tahun, hanya 15 ribu orang yang akan terpilih. 

Antara kemudahan yang disediakan.
Melawat perpustakaan 
Sekitar bilik persidangan Universitas Indonesia  :)

Interaksi antara pelajar universiti dan kami turut diadakan. Pelbagai persoalan mengenai budaya dan sistem pembelajaran dirungkai bersama-sama. Perkara menarik yang saya temui ialah sistem pembelajaran Indonesia lebih berpusat pada negeri masing-masing. Oleh itu, bahasa Indonesia bukan bahasa rasmi tetapi adalah bahasa persatuan. Selain itu, setiap sekolah perlu mempelajari bahasa daerah masing-masing seperti bahasa jawa, sunda, belawi dan macam-macam lagi. Justeru itu, tidak akan ada alasan mereka tidak mengetahui asal usul bahasa mereka sendiri. Tidak akan ada juga yang berani mengatakan "I look stupid when I speak Malay" ... Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Puncak Bandung untuk bermalam di Alfa Villa. Keadaan agak "macet" sepanjang perjalanan. Jadi, ramai yang syahid di alam mimpi.. 

* Nantikan coretan untuk hari yang berikutnya.