Bagaimana kita dapat melewati indahnya fajar pagi, jika kita tidak pernah berani melewati pekat malam?

Pages

Tuesday, September 8, 2015

Ibrah Merantau

   Saya sering menghadapi masalah untuk memulakan entri. Ingin benar menulis pengalaman sepanjang saya berada di sini untuk dijadikan bahan bacaan sendiri ketika meniti usia kelak. Hehe.. Kekangan masa boleh sahaja dijadikan alasan untuk tidak menulis. Memandangkan tugas guru zaman kini adalah dua kali ganda berat berbanding zaman dahulu. Namun, faktor ‘M’ dalam diri lebih menguasai.

    Besar hasrat hati ingin menulis sekurang-kurangnya seminggu sekali agar dapat dijadikan bacaan anak cucu kelak. Besar harapan namun tidak berguna jika tiada usaha ke arah itu. Doakan saya rajin menulis ye. Suka untuk saya memberitahu ketika penulisan ini ditaip saya sedang bersendirian di kelas pra sambil menunggu hujan sedikit reda untuk pulang ke rumah. Memandangkan saya tidak membawa payung dan segala tugasan telah saya siapkan, saya memilih untuk menulis dan berazam untuk publishkan jika ada line petang nanti. Insha Allah. 

    Mendengar titisan air hujan membasahi bumi adalah satu suasana yang menenangkan. Suasana sejuk sebegini sememangnya seronok jika kita berada di atas katil. Boleh dikatakan hampir setiap hari cuaca di sini adalah hujan. Kadangkala panas seketika sahaja, hujan akan menyusul kemudian. Berada di sini, saya lebih menghargai nikmat hujan. 

      Hal ini kerana kami juga bergantung harap kepada air hujan untuk keperluan semasa sekiranya air pam rosak. Kini, sudah hampir dua minggu air pam mengalami kerosakan dan alhamdulillah selama itulah hujan sering turun seolah-olah mendengar doa kami. Alhamdulillah. Allhuma soyyiban nafian. Terima kasih Ya Allah.

      Air yang digunakan untuk memasak di pra saya juga bergantung 100 peratus pada air hujan. Jika air sudah kekeringan, PPM (Pembantu Pengurusan Murid) saya tidak boleh menyediakan makanan dan murid perlu membawa makanan sendiri daripada rumah. Keperluan menyediakan makanan di prasekolah adalah untuk memastikan murid mendapat makanan yang berkhasiat lagi sihat. Oleh kerana itu, makanan murid amat dititikberatkan bagi memastikan murid mudah memperlajari sesuatu pelajaran tersebut.

     Saya teringat pada awal bulan 4, ketika itu dapur pra saya baru dibina dan keperluan memasak telah kami sediakan selengkahp-lengkapnya. Murid-murid begitu teruja untuk menantikan lauk apakah yang akan dihidangkan pada mereka. Makan makanan yang berlainan daripada rumah pastinya satu kegembiraan buat anak kecil ini. Hampir setiap hari mereka akan memuji masakan ppm saya dan melihat mereka menambah lauk saban hari adalah kegembiraan buat saya. Begitu mudah anak kecil ini menyentuh hati saya.

     Inilah ajaibnya merantau. Tanpa saya sedari, terlalu banyak ibrah yang telah saya peroleh sepanjang berada di negeri ini. Sama ada sedar ataupun tidak. Apa yang pasti dengan merantau, saya lebih mensyukuri nikmat yang diberikan olehNya. Tidak kira lah nikmat kesenangan, kesusahan, kegembiraan dan kesedihan. Bukankah itu semua adalah ujian untuk menjadikan kita insan yang lebih beriman. Mujahadah itu pahit kerna syurga itu manis. #strive4jannah.

Tuesday, August 4, 2015

Saya Cikgu Prasekolah

Saya telah diamanahkan menjadi guru prasekolah 5 tahun iaitu prasekolah yang baru sahaja dibuka tahun ini. Kelulusan prasekolah adalah prasekolah tanpa peruntukan. Prasekolah hanya menumpang di bilik Gerakan Asrama. Mengakui kurang sabar dengan budak kecil membuatkan saya teragak-agak untuk menerimanya. Sebagai orang baharu saya tiada pilihan. Pertama kali memasuki prasekolah, saya sudah pening kepala dan berasa tidak sihat. Murid saya hanya 7 orang sahaja dan semuanya tidak tahu berbahasa Melayu. Walaupun bahasa mudah seperti makan, duduk, berbaris, dan lain-lain lagi. Saya hanya membiarkan mereka berbual menggunakan bahasa iban dan sesekali saya mempelajari sedikit demi sedikit bahasa tersebut. 

Kini, setelah 6 bulan, Alhamdulillah, mereka sudah boleh memahami bahasa Melayu dan beberapa orang murid boleh membalas bualan saya menggunakan bahasa Melayu. Puas rasanya melihat mereka berusaha untuk menceritakan apa yang mereka lakukan di rumah menggunakan bahasa isyarat apabila saya mengeleng tidak memahami bahasa iban. 

Setelah 6 bulan juga, prasekolah saya telah mempunyai beberapa kemudahan asas. Saya dan Kak Ayu (Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah) telah mengemas kelengkapan yang ada. Tikar getah sumbangan asrama telah dipasang, dapur hasil kerjasama bersama ibu bapa juga telah siap dibina. Kipas dan lampu juga telah dibaiki. Meja kecil juga telah saya beli untuk keselesaan murid-murid. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan saya. 

Setelah 6 bulan ini, empat orang murid saya telah berjaya menguasai ABC dan kita dalam proses mengenal suku kata terbuka. Murid yang sedikit kadangkala membosankan namun kita boleh memberikan mereka lebih tumpuan. Jujur saya katakan, semangat saya akan naik meninggi sekiranya murid saya hadir melebihi empat orang. Perasaan bersungguh automatik ada. Apabila kehadiran sekadar dua orang sehari, murid yang hadir itu juga berasa bosan untuk belajar. Di sini terletaknya kreativiti guru agar murid tertarik dengan pdp. Mengetahui latar belakang keluarga mereka juga membuatkan diri ini lebih empati dan lebih sayang kepada mereka. Biarlah kehadiran saya mengisi ruang kekosongan kasih sayang pada diri mereka. Saya mendekati mereka seperti seorang kakak mendidik adiknya. 

Setelah 6 bulan ini, saya boleh tersenyum lega kerana mereka sudah mampu mengikuti beberapa amalan kesihatan. Antaranya memotong kuku, menggosok gigi, mandi, membasuh hidung, menggunakan sabun ketika mandi. Mereka sangat jujur apabila mengangkat tangan sebagai tanda mereka tidak mandi, menggosok gigi atau sebagainya. Tulusnya mereka menambat hati ini. 

Dari kiri Mia, Gracey, Imanuel, Hendrickson, Rossi, Gabriel

Dari kiri : Gabriel, Mia, Jeanny, Hendrickson, Imanuel, saya

Apabila kesukaran dilihat sebagai cabaran, pastinya kemanisan serta kepuasan yang akan dirasai. Cikgu doakan kalian menjadi insan yang baik budi pekerti serta mampu menjadi insan yang berguna kelak. Amin. 

Monday, August 3, 2015

6 bulan

2.2.2015-2.8.2015.

Tepat 6 bulan saya berkelana di sini. SK Kampung Tegageng, sebuah sekolah pedalaman di daerah subis, Sarawak. Terletak kira-kira 2 jam lebih daripada bandar Miri, saya bersyukur kerana Miri antara bandar yang mempunyai lapangan terbangnya yang sendiri. Hal ini memudahkan saya untuk pulang ke semenanjung jikalau ada keperluan yang mendesak.

Seterusnya, saya perlu melalui jalan berbatu kira-kira 45 minit dan menaiki perahu kecil menyeberang sungai untuk ke sekolah. Saya tinggal di kuarters sekolah pada hari persekolahan dan akan pulang ke pekan Bekenu pada hujung minggu. Jarak antara sekolah dan Bekenu adalah kira-kira 1 jam lebih. Kebanyakkan warga sekolah mempunyai rumah sewa sama ada di Miri atau Bekenu sebagai tempat persinggahan hujung minggu.

Antara cabaran saya di sini ialah masalah air. Kami mempunyai tiga punca air di rumah iaitu air hujan, air pam dan air sungai. Kadang kala, air hujan sudah kering dan air pam pula rosak. Kami terpaksa mandi menggunakan air sungai. Kulit saya yang sensitif sedang dididik agar tidak manja. Itu sahaja pilihan yang ada di sini.  


Pernah suatu ketika, air sungai juga tidak keluar daripada pili. Ketika itu, hanya Allah sahaja yang memahami perasaan ini. Bagaimana untuk mencuci, mandi dan sebagainya apabila air dalam takungan sudah habis kesemuanya. Situasi sebegini banyak mendidik hati ini. Bukan senang untuk senang bukan. Teringat kawan usrah saya pernah berkata ‘Sabar itu adalah yang pertama. Bukan selepas keluhan, kita kata kita sabar. Bukan selepas cacian, kita kata kita sabar. Bukan selepas marah, kita kata kita sabar. Susah bukan untuk sabar. Saya juga sedang belajar. Doakan saya.

Terlalu banyak cerita ingin dicoretkan. Nantikan entri seterusnya ye. :) 

Sunday, March 8, 2015

#Throwback


Hadiah kek daripada kak eiya :) 


 Tidak menyangka ramai yang menyayangi diri ini. Alhamdulillah


Syurga dunia buat diri ini.

Mereka diterbangkan terlebih dahulu ke Kuching.

 Dira, teman sebilik semasa di hotel KL. Dia daripada maktab terengganu dan ditempatkan di kuching. Bertukar cerita dan berita sehingga kini.
Jiha (Baram) dan Zack (Kapit). Kami bertiga ditempatkan di P3. 

Rakan sekelas, Wan ditempatkan di Betong.

Saturday, October 12, 2013

Gelandangan Oh Gelandangan

Khamis yang lalu, saya bersama-sama rakan-rakan guru pelatih telah berjaya menjalankan Projek Dakapan Kasih iaitu projek membantu gelandangan di sekitar Chow Kit dan sekitar Lorong Haji Taib. Projek ini adalah untuk memenuhi proforma khusus bagi subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Pada mulanya, kami perlu bertandang ke negeri Perak untuk menjalankan khidmat masyarakat di beberapa kampung yang terpilih. 

Walaubagaimanapun, kita merancang, Allah turut merancang. Pastinya perancangan Allah lebih indah aturannya Ahli Jawatankuasa mula memikirkan alternatif lain. Alhamdulillah, projek memberi sumbangan makanan kepada warga gelandangan menjadi pilihan. Projek ini mendapat kerjasama daripada Cure and Care Centre iaitu pertubuhan di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan. 

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, gelandangan bermaksud orang-orang yang 
pekerjaannya atau tempat tinggalnya tidak tetap. 

Perasaan takut mulai terasa apabila mendapati kami akan membantu golongan tersebut di sekitar Chow Kit dan Lorong Haji Taib. Tetapi, saya bersegera mempositifkan diri mengatakan pada hati bahawa ini adalah pengalaman baru yang perlu dirasai dan dikongsi bersama.

Sebelum itu, aktiviti rewang dilakukan pada waktu paginya. Rewang ini adalah untuk memasak lauk pauk yang akan diberikan nanti. Duit membeli bahan mentah ini adalah hasil daripada sumbangan warga IPG Kampus Pendidikan Islam.


Walaubagaimanpun, saya tidak dapat turut serta menolong kerana perlu menghantar seorang junior blok ke hospital gara-gara sakit perut yang terlampau. Itu merupakan salah satu tugas ketua blok. :) Saya sebenarnya agak ralat tidak dapat membantu kerana saya sememangnya menyukai aktiviti rewang sebegini. Aktiviti rewang sudah menjadi satu kelaziman buat diri ini. Saya melihat aktiviti sebegini mampu melahirkan sikap bertolak ansur, kerjasama, toleransi, menerima pendapat orang lain dan sebagainya.

Petangnya, sebaik sahaja pulang daripada hospital, saya bergegas ke masjid untuk menolong membantu apa-apa pekerjaan yang belum diselesaikan Tetapi, niat utamanya adalah untuk merasai sup tulang yang dimasak oleh rakan sekelas. Selesai makan, saya membantu membungkus makanan dan pulang ke asrama untuk membersihkan diri. 

Kami bertolak selepas maghrib menuju ke destinasi. Sebanyak 16 buah kereta berkonvoi untuk menjalankan program ini. Sebaik sahaja tiba di Cure and Care, Chow Kit, kami diberikan taklimat sebelum bergerak mengikut kumpulan masing-masing.
Encik Faizal Abdullah (berbaju hitam) , ketua kumpulan saya
Muka tidak sabar untuk merasai pengalaman baru :D

Kami dinasihati agar memakai kasut kerana dikhuatiri boleh memijak jarum-jarum suntikan yang dibuang begitu sahaja. Pelbagai ragam gelandangan yang berjaya kami jumpa. Ada yang sedang mencari sisa makanan dalam tong sampah, ada yang sedang tidur beralaskan kotak dan tidak kurang juga yang sedang berlegar-legar di jalanan.  
Setiap lorong-lorong gelap dilalui dengan perasaan berdebar dan teruja. 

Kami turut mengambil peluang mengetuk hotel-hotel kecil untuk memberikan sebungkus makanan. Tangan dihulur, hati berdoa. Ya Allah kurniakanlah hidayah-Mu kepada mereka, terimalah amalan hamba-Mu yang hina ini. 

Bergambar bersama salah seorang anak gelandangan yang beru berusia 9 tahun tetapi menghidap darah tinggi.

Ini tugas kita, ini tugas kita bersama. Umat islam makin meruncing imannya. Allah, bantulah hamba-Mu ini menjalankan amanah-Mu.