Bagaimana kita dapat melewati indahnya fajar pagi, jika kita tidak pernah berani melewati pekat malam?

Pages

Tuesday, August 4, 2015

Saya Cikgu Prasekolah

Saya telah diamanahkan menjadi guru prasekolah 5 tahun iaitu prasekolah yang baru sahaja dibuka tahun ini. Kelulusan prasekolah adalah prasekolah tanpa peruntukan. Prasekolah hanya menumpang di bilik Gerakan Asrama. Mengakui kurang sabar dengan budak kecil membuatkan saya teragak-agak untuk menerimanya. Sebagai orang baharu saya tiada pilihan. Pertama kali memasuki prasekolah, saya sudah pening kepala dan berasa tidak sihat. Murid saya hanya 7 orang sahaja dan semuanya tidak tahu berbahasa Melayu. Walaupun bahasa mudah seperti makan, duduk, berbaris, dan lain-lain lagi. Saya hanya membiarkan mereka berbual menggunakan bahasa iban dan sesekali saya mempelajari sedikit demi sedikit bahasa tersebut. 

Kini, setelah 6 bulan, Alhamdulillah, mereka sudah boleh memahami bahasa Melayu dan beberapa orang murid boleh membalas bualan saya menggunakan bahasa Melayu. Puas rasanya melihat mereka berusaha untuk menceritakan apa yang mereka lakukan di rumah menggunakan bahasa isyarat apabila saya mengeleng tidak memahami bahasa iban. 

Setelah 6 bulan juga, prasekolah saya telah mempunyai beberapa kemudahan asas. Saya dan Kak Ayu (Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah) telah mengemas kelengkapan yang ada. Tikar getah sumbangan asrama telah dipasang, dapur hasil kerjasama bersama ibu bapa juga telah siap dibina. Kipas dan lampu juga telah dibaiki. Meja kecil juga telah saya beli untuk keselesaan murid-murid. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan saya. 

Setelah 6 bulan ini, empat orang murid saya telah berjaya menguasai ABC dan kita dalam proses mengenal suku kata terbuka. Murid yang sedikit kadangkala membosankan namun kita boleh memberikan mereka lebih tumpuan. Jujur saya katakan, semangat saya akan naik meninggi sekiranya murid saya hadir melebihi empat orang. Perasaan bersungguh automatik ada. Apabila kehadiran sekadar dua orang sehari, murid yang hadir itu juga berasa bosan untuk belajar. Di sini terletaknya kreativiti guru agar murid tertarik dengan pdp. Mengetahui latar belakang keluarga mereka juga membuatkan diri ini lebih empati dan lebih sayang kepada mereka. Biarlah kehadiran saya mengisi ruang kekosongan kasih sayang pada diri mereka. Saya mendekati mereka seperti seorang kakak mendidik adiknya. 

Setelah 6 bulan ini, saya boleh tersenyum lega kerana mereka sudah mampu mengikuti beberapa amalan kesihatan. Antaranya memotong kuku, menggosok gigi, mandi, membasuh hidung, menggunakan sabun ketika mandi. Mereka sangat jujur apabila mengangkat tangan sebagai tanda mereka tidak mandi, menggosok gigi atau sebagainya. Tulusnya mereka menambat hati ini. 

Dari kiri Mia, Gracey, Imanuel, Hendrickson, Rossi, Gabriel

Dari kiri : Gabriel, Mia, Jeanny, Hendrickson, Imanuel, saya

Apabila kesukaran dilihat sebagai cabaran, pastinya kemanisan serta kepuasan yang akan dirasai. Cikgu doakan kalian menjadi insan yang baik budi pekerti serta mampu menjadi insan yang berguna kelak. Amin. 

Monday, August 3, 2015

6 bulan

2.2.2015-2.8.2015.

Tepat 6 bulan saya berkelana di sini. SK Kampung Tegageng, sebuah sekolah pedalaman di daerah subis, Sarawak. Terletak kira-kira 2 jam lebih daripada bandar Miri, saya bersyukur kerana Miri antara bandar yang mempunyai lapangan terbangnya yang sendiri. Hal ini memudahkan saya untuk pulang ke semenanjung jikalau ada keperluan yang mendesak.

Seterusnya, saya perlu melalui jalan berbatu kira-kira 45 minit dan menaiki perahu kecil menyeberang sungai untuk ke sekolah. Saya tinggal di kuarters sekolah pada hari persekolahan dan akan pulang ke pekan Bekenu pada hujung minggu. Jarak antara sekolah dan Bekenu adalah kira-kira 1 jam lebih. Kebanyakkan warga sekolah mempunyai rumah sewa sama ada di Miri atau Bekenu sebagai tempat persinggahan hujung minggu.

Antara cabaran saya di sini ialah masalah air. Kami mempunyai tiga punca air di rumah iaitu air hujan, air pam dan air sungai. Kadang kala, air hujan sudah kering dan air pam pula rosak. Kami terpaksa mandi menggunakan air sungai. Kulit saya yang sensitif sedang dididik agar tidak manja. Itu sahaja pilihan yang ada di sini.  


Pernah suatu ketika, air sungai juga tidak keluar daripada pili. Ketika itu, hanya Allah sahaja yang memahami perasaan ini. Bagaimana untuk mencuci, mandi dan sebagainya apabila air dalam takungan sudah habis kesemuanya. Situasi sebegini banyak mendidik hati ini. Bukan senang untuk senang bukan. Teringat kawan usrah saya pernah berkata ‘Sabar itu adalah yang pertama. Bukan selepas keluhan, kita kata kita sabar. Bukan selepas cacian, kita kata kita sabar. Bukan selepas marah, kita kata kita sabar. Susah bukan untuk sabar. Saya juga sedang belajar. Doakan saya.

Terlalu banyak cerita ingin dicoretkan. Nantikan entri seterusnya ye. :)