Bagaimana kita dapat melewati indahnya fajar pagi, jika kita tidak pernah berani melewati pekat malam?

Pages

Tuesday, August 4, 2015

Saya Cikgu Prasekolah

Saya telah diamanahkan menjadi guru prasekolah 5 tahun iaitu prasekolah yang baru sahaja dibuka tahun ini. Kelulusan prasekolah adalah prasekolah tanpa peruntukan. Prasekolah hanya menumpang di bilik Gerakan Asrama. Mengakui kurang sabar dengan budak kecil membuatkan saya teragak-agak untuk menerimanya. Sebagai orang baharu saya tiada pilihan. Pertama kali memasuki prasekolah, saya sudah pening kepala dan berasa tidak sihat. Murid saya hanya 7 orang sahaja dan semuanya tidak tahu berbahasa Melayu. Walaupun bahasa mudah seperti makan, duduk, berbaris, dan lain-lain lagi. Saya hanya membiarkan mereka berbual menggunakan bahasa iban dan sesekali saya mempelajari sedikit demi sedikit bahasa tersebut. 

Kini, setelah 6 bulan, Alhamdulillah, mereka sudah boleh memahami bahasa Melayu dan beberapa orang murid boleh membalas bualan saya menggunakan bahasa Melayu. Puas rasanya melihat mereka berusaha untuk menceritakan apa yang mereka lakukan di rumah menggunakan bahasa isyarat apabila saya mengeleng tidak memahami bahasa iban. 

Setelah 6 bulan juga, prasekolah saya telah mempunyai beberapa kemudahan asas. Saya dan Kak Ayu (Pembantu Pengurusan Murid Prasekolah) telah mengemas kelengkapan yang ada. Tikar getah sumbangan asrama telah dipasang, dapur hasil kerjasama bersama ibu bapa juga telah siap dibina. Kipas dan lampu juga telah dibaiki. Meja kecil juga telah saya beli untuk keselesaan murid-murid. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan saya. 

Setelah 6 bulan ini, empat orang murid saya telah berjaya menguasai ABC dan kita dalam proses mengenal suku kata terbuka. Murid yang sedikit kadangkala membosankan namun kita boleh memberikan mereka lebih tumpuan. Jujur saya katakan, semangat saya akan naik meninggi sekiranya murid saya hadir melebihi empat orang. Perasaan bersungguh automatik ada. Apabila kehadiran sekadar dua orang sehari, murid yang hadir itu juga berasa bosan untuk belajar. Di sini terletaknya kreativiti guru agar murid tertarik dengan pdp. Mengetahui latar belakang keluarga mereka juga membuatkan diri ini lebih empati dan lebih sayang kepada mereka. Biarlah kehadiran saya mengisi ruang kekosongan kasih sayang pada diri mereka. Saya mendekati mereka seperti seorang kakak mendidik adiknya. 

Setelah 6 bulan ini, saya boleh tersenyum lega kerana mereka sudah mampu mengikuti beberapa amalan kesihatan. Antaranya memotong kuku, menggosok gigi, mandi, membasuh hidung, menggunakan sabun ketika mandi. Mereka sangat jujur apabila mengangkat tangan sebagai tanda mereka tidak mandi, menggosok gigi atau sebagainya. Tulusnya mereka menambat hati ini. 

Dari kiri Mia, Gracey, Imanuel, Hendrickson, Rossi, Gabriel

Dari kiri : Gabriel, Mia, Jeanny, Hendrickson, Imanuel, saya

Apabila kesukaran dilihat sebagai cabaran, pastinya kemanisan serta kepuasan yang akan dirasai. Cikgu doakan kalian menjadi insan yang baik budi pekerti serta mampu menjadi insan yang berguna kelak. Amin. 

1 comment:

nadiah said...

Tahniah sayang. Akak tahu awak boleh menjadi guru yang berdedikasi. Akak bangga dengan awak. Semoga berjaya!